Monday, November 17, 2014

Pembangunan Insaniah Dalam Kaedah Pendidikan Al-Ghazali


Menuntut ilmu merupakan satu perbuatan yang mulia menurut pandangan Islam. Walau bagaimanapun, kaedah pendidikan yang tidak tepat menyebabkan proses penyampaian ilmu itu tidak lancar. Oleh itu amat penting untuk mengetahui kaedah pendidikan yang digariskan bertepatan dengan syariat Islam. Dalam tulisan ini, perbincangan akan dilakukan berkisar tentang kaedah pendidikan al-Ghazali dalam Kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din.


Biografi Al-Ghazali

Nama sebenar al-Ghazali ialah Hujjah al-Islam al-Imam Abu Hamid al-Ghazali Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-Tusi dan digelar sebagai Samsuddin. Beliau dilahirkan di Tus di dalam wilayah Khurasan dalam tahun 450 Hijrah. Al-Ghazali mempunyai pengetahuan yang mantap sehingga mampu menguasai pelbagai disiplin ilmu seperti ilmu usul, fiqh, tasawwuf, al-kalam, al-Sunnah dan falsafah. Keperibadiannya serta kemampuannya berhujah mampu menundukkan pihak musuh. Walaupun al-Ghazali berjaya menguasai pelbagai disiplin ilmu, tetapi beliau tidak mempunyai latar belakang yang kuat dalam ilmu Hadith. Al-Qardawi merujukkan faktor ini kepada tempat al-Ghazali dibesarkan iaitu di Institusi al-Imam al-Haramain yang tidak memberi penekanan kepada ilmu-ilmu Hadith.

Pujian terhadap al-Ghazali wajar diberikan lantaran ilmu dan sumbangan beliau dalam bidang falsafah, yang mampu meluruskan fahaman yang telah terpesong dengan mengusai bidang tersebut. Selain itu, al-Ghazali juga berjaya menghidupkan semangat ijtihad dan mengkritik semua kumpulan atas kelemahan dan unsur-unsur kufur mereka. Beliau juga mengkritik sistem pendidikan yang merosot dan mencadangkan sebuah sistem baru untuk diaplikasikan. Walau bagaimanapun, kritikan pula diberikan oleh Ibn Taymiyyah yang menyatakan pemikiran al-Ghazali adalah berdasarkan peninggalan falsafah Yunani. Walau bagaimanapun, jika diteliti sememangnya Sarjana Falsafah mengagungkan falsafah Yunani, tetapi mereka menyelaraskan dengan nas-nas agama.


Kaedah Pendidikan Al-Ghazali Dalam Kitab Ihya’ ‘Ulum Al-Din

Dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din, al-Ghazali mengetengahkan sekurang-kurangnya lima kaedah pendidikan yang boleh digunakan dalam proses pembelajaran.


1.    1. Kaedah Pertanyaan

Kaedah ini berfungsi untuk memperjelas sebarang kekaburan yang dihadapi oleh para pelajar. Dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din, al-Ghazali mengemukakan beberapa kisah tentang pentingnya bertanya dalam proses pembelajaran. Antaranya:

Berkata ‘Atha’ r.a: “Aku masuk ke tempat Sa’id bin Al-Musayyab dan ia sedang menangis. Lalu aku bertanya: “Apakah yang menyebabkan engkau menangis?” Ia menjawab: “Kerana tidak ada orang yang menanyakan sesuatu kepadaku.”

Bagi memperkukuhkan kaedah bertanya dalam proses pembelajaran, al-Ghazali mengemukakan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Bertanyalah kepada ahli ilmu jika kamu tidak tahu.” (al-Nahl; 16:43)

Maka, daripada firman Allah SWT ini, al-Ghazali (1988:197) berhujah seperti berikut:

“Jadi, bertanya itu disuruh. Maka ketahuilah, bahawa memang demikian, tetapi mengenai persoalan yang diizinkan guru, bertanya kepadanya. Bertanya tentang soal yang belum sampai tingkatanmu memahaminya adalah tercela.”
Jika disoroti kisah ilmuwan lampau, al-Ghazali bukan satu-satunya ilmuwan yang menggunakan kaedah bertanya dalam pengajaran dan pembelajaran, tetapi al-Syafi’iy juga membenarkan kaedah ini. Hal ini terbukti apabila beliau menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan dalam untuk pemahaman orang yang bertanya. Al-Syafi’iy menyatakan sepertimana berikut:

“Telah berjumpa denganku tujuh belas orang Zindiq di jalan menuju Ghazah. Mereka bertanya, "Apa bukti adanya Pencipta?". Aku berkata, "Jika aku mengemukakan bukti yang memuaskan apakah kalian mau beriman?". Mereka menjawab, "Ya". Aku katakan 'Daun pohon At-Tur, rasanya, warnanya dan baunya sama. Dimakan oleh ulat yang keluar dari perutnya adalah benang sutera. Dimakan oleh lebah yang keluar adalah madu. Dimakan oleh kambing yang keluar adalah kotoran. Yang dimakan adalah satu jenis makan yang keluar seharusnya juga satu jenis. Tetapi perhatikanlah bagaimana keadaan itu berubah, nescaya itu adalah perbuatan Pencipta Alam yang Maha Kuasa untuk merubah semuanya".

Berdasarkan kisah tersebut, jelas bahawa al-Syafi’iy menjawab pertanyaan yang dilontarkan untuk berdakwah supaya beriman kepada Allah SWT. Secara tidak langsung, al-Syafi’iy turut membenarkan penggunaan kaedah bertanya dalam pengajaran dan pembelajaran.

Jelas di sini betapa pentingnya kaedah bertanya dipraktikkan dalam proses pembelajaran. Dengan kaedah ini, kekaburan tentang ilmu yang dipelajari dapat diperjelaskan. Apabila ilmu yang dipelajari itu dapat difahami dengan baik, maka ilmu tersebut dapat dihubungkan dengan kebesaran Allah SWT dan seterusnya membangunkan insaniah dalam diri para pelajar.  

2.    
2    2Kaedah Tauladan

Sepertimana da’wah bi al-hal (dakwah dengan perbuatan) dikatakan lebih berkesan berbanding da’wah bi al-lisan (dakwah dengan lisan), begitu juga dengan kaedah pendidikan yang dilakukan melalui ketauladanan lebih berkesan diikuti oleh murid berbanding dengan kaedah pendidikan melalui penyampaian ilmu secara lisan semata-mata. Dalam Kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din, al-Ghazali menyatakan kaedah pendidikan melalui tauladan sebenarnya juga merupakan kaedah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW. Hal ini berdasarkan satu kisah yang dinukilkan dalam sebuah hadith seperti berikut:

Pada suatu hari Rasulullah SAW keluar berjalan-jalan, lalu melihat dua majlis. Pada majlis yang pertama, mereka berdoa kepada Allah SWT dan ingin kepada-Nya hati. Dalam majlis yang kedua mereka mengajar manusia. Maka bersabda Nabi SAW: “Adapun mereka itu bermohon kepada Allah SWT. Jika dikehendaki-Nya, maka dikabulkan-Nya. Jika tidak dikehendaki-Nya, maka ditolak-Nya. Sedang mereka yang satu majlis lagi, mengajarkan manusia dan aku ini diutuskan untuk mengajar”. Kemudian Nabi SAW menoleh ke majlis orang mengajar, lalu duduk bersama mereka. Bersabda Nabi SAW: “Contohnya aku diutuskan oleh Allah SWT dengan petunjuk dan ilmu, adalah seumpama hujan lebat yang menyirami bumi. Diantaranya ada sepotong tanah yang menerima air hujan itu, lalu menumbuhkan banyak rumput dan lalang. Diantaranya ada yang dapat membendung air itu, lalu dimanfaatkan oleh Allah SWT kepada manusia. Maka mereka minum, menyiram dan bercucuk tanam. Dan ada sebahagian tempat yang rata, yang tidak membendung air dan tidak menumbuhkan rumput.”

Al-Ghazali mengupas Hadith ini dengan menyatakan contoh pertama yang disebut Nabi SAW adalah sebagai tamthil (perumpamaan) teladan bagi orang yang dapat mengambil faedah dengan ilmunya. Contoh yang kedua pula merujuk kepada orang yang dapat memanfaatkannya, manakala contoh yang ketiga pula merujuk kepada orang yang tidak dapat mengambil apa-apa pelajaran. Daripada kupasan yang dilakukan, boleh difahami bahawa Rasulullah SAW menjadi teladan dalam semua perbuatan yang dilakukan.

Selain itu kaedah ini juga disokong dengan kisah Imam Malik yang sikapnya diteladani oleh Khalifah Harun al-Rashid, iaitu:

Imam Malik adalah seorang ulama yang terkenal. Kehadirannya menimbulkan keinginan Khalifah Harun al-Rashid (khalifah yang memerintah Kerajaan Abbasiyah) untuk belajar dengan beliau. Khalifah Harun al-Rashid memerintah seorang utusan pergi menemui Imam Malik r.a. untuk menjemput beliau datang mengajar Baginda di istana. Setelah utusan khalifah sampai ke rumah Imam Malik r.a., beliau segera menyampaikan salam takzim daripada khalifah dan menceritakan hasrat baginda kepada Imam Malik r.a. untuk menjemputnya ke istana. Imam Malik r.a. hanya tersenyum sambil berkata kepada utusan khalifah: “Ilmu itu dicari bukan mencari”. Setelah mendengar kata-kata Imam Malik r.a., utusan tersebut terus pulang menemui khalifah di istana. Beliau menyampaikan kata-kata Imam Malik r.a. kepada baginda. Khalifah Harun al-Rashid memahami maksud kata-kata Imam Malik r.a. Lantas baginda bersiap dengan singgahsananya untuk berangkat ke rumah Imam Malik r.a. Sebelum baginda berangkat meninggalkan istana, tiba-tiba kelihatan Imam Malik r.a. telah sampai ke istana. Khalifah menjemput Imam Malik masuk mengadap lalu baginda berkata : “Ilmu itu dicari bukan mencari”. Mendengar kata-kata Khalifah Harun al-Rasyid itu, Imam Malik r.a. menjawab: “Tuanku seorang khalifah yang baik dan beriman. Justeru perintah Tuanku itu menjadi tanggungjawab hamba supaya mentaatinya”. Akhirnya Khalifah Harun al-Rashid terus berangkat ke rumah Imam Malik r.a. untuk belajar ilmu daripada beliau. Apabila sampai, Imam Malik r.a. terus mengajar ilmu kepada pelajar-pelajarnya sambil duduk dibawah. Baginda terus masuk ke majlis tersebut mengikuti ilmu yang sedang diajar sambil duduk di atas singgahsana untuk mendengar pengajaran yang disampaikan oleh Imam Malik r.a. Setelah menyedari keadaan tersebut, Imam Malik r.a. berkata kepada baginda : “Ilmu lebih mulia daripada pencari ilmu”. Khalifah Harun terasa kebenaran kata-kata tersebut, lalu baginda turun dari singgahsana tersebut untuk duduk di bawah bersama-sama dengan orang ramai. Khalifah Harun al-Rasyid terus mempelajari ilmu daripada Imam Malik r.a. sehingga tamat pengajiannya.

Daripada kisah yang dinukilkan, dapat dilihat bahawa Khalifah Harun al-Rasyid meneladani sikap rendah diri Imam Malik dalam menuntut ilmu apabila sudi untuk turut serta duduk di bawah bersama-sama dengan orang ramai. Maka terbukti, tauladan yang baik akan mudah diikuti oleh orang lain tanpa mengenal darjat dan pangkat orang yang memberi tauladan.

3.    
3    3.  Kaedah dari Hati ke Hati

Ilmu yang disampaikan dari hati akan lebih mudah sampai dan terkesan ke hati orang yang menerimanya. Kaedah pendidikan yang disampaikan tanpa disertakan hati dalam proses pembelajaran akan menjadi hijab (penghalang) untuk ilmu tersebut sampai ke dalam hati seorang murid. Al-Ghazali juga ada menyatakan betapa pentingnya menyucikan hati murid yang diajar.

“Guru itu berpengurusan dalam hati dan jiwa manusia. Yang termulia di atas bumi, adalah jenis manusia. Yang termulia dari bahagian tubuh manusia adalah hatinya. Guru itu bekerja menyempurnakan, membersihkan, mensucikan dan membawa hati itu mendekati Allah SWT.”

Proses pengajaran dan pembelajaran itu sendiri merupakan suatu ibadah. Dalam mengerjakan suatu ibadah, amat penting untuk menghadirkan hati dalam perlakuan tersebut. Al-Ghazali menyatakan seperti berikut:

“Adapun khusyuk dan menghadirkan hati yang menjadi amal perbuatan akhirat dan dengan itu bermanfaatlah amal zahir...”

“Ilmu yang terpenting yang disia-siakan oleh semua orang ialah ilmu sifat hati, yang terpuji dan yang tercela daripadanya. Kerana tidak ada manusia yang terlepas dari sifat yang tercela seperti tamak, dengki, riya’, takabur, sombong dan sebagainya. Semuanya itu membinasakan. Mengabaikan kewajiban tadi serta mementingkan amalan zahir, sama seperti menggosokkan badan ketika menderita penyakit kudis dan bisul tetapi melupakan untuk proses pengeluaran asal penyakit itu yang dari tubuh dengan bekam dan bersihkan perut.”

“Orang kebanyakan menempuh amal zahir tanpa menyucikan hati nurani adalah kerana amal secara zahir itu lebih mudah.”

Memang tidak dinafikan, ibadah itu mudah dilakukan secara zahir, namun ibadah yang lebih berkesan adalah apabila hati itu turut serta dalam perlakuan tersebut. Selain itu, harus diingatkan tujuan pendidikan itu adalah untuk menjadikan manusia itu hamba yang beriman kepada Allah SWT. Melalui pendidikan, manusia akan mengenal Allah SWT dengan lebih dekat. Jika pengajaran dan pembelajaran itu tidak lahir dari hati, bahkan lahir dari hati yang kotor, tidak mungkin seorang murid itu akan berjaya mengenal al-Khaliq (Pencipta).

Terdapat juga beberapa pandangan daripada ilmuwan lampau tentang pentingnya hati yang bersih untuk membolehkan melihat dan menerima kebenaran yang disampaikan. Antaranya:

Ibn Qayyim mengatakan: “Hati yang sihat dan hidup jika keburukan datang kepadanya, ia lari daripadanya, membencinya dan tidak menoleh kepadanya. Ini berbeza dengan hati yang mati, ia tidak mampu membezakan kebaikan dengan keburukan, seperti dikatakan Abdullah bin Mas’ud r.a., “Binasalah orang yang tidak mempunyai hati yang mampu mengenal kebaikan dan menolak kemungkaran”.”

Ibn Taimiyah berpendapat: “Penyakit hati itu sama dengan penyakit badan. Ia semacam kerosakan yang terjadi di dalam hati seseorang, sehingga merosak keinginannya. Hatinya dikuasai syubhat sehingga ia tidak melihat kebenaran yang sebetulnya. Akibatnya, ia membenci sesuatu yang benar dan bermanfaat serta menyukai sesuatu yang salah dan berbahaya.”

Daripada pendapat ilmuwan lampau tersebut, dapat disimpulkan bahawa kaedah pembelajaran bukan sahaja perlu dilaksanakan dari hati ke hati, tetapi ia juga perlu lahir dari hati yang bersih dan suci agar mudah ilmu itu diamalkan. Apabila ilmu itu lahir dari hati yang bersih, ilmu tersebut akan berperanan untuk menghubungkan kehidupan dengan Allah SWT.


4.     4.  Kaedah Penaakulan

Akal membezakan antara haiwan dengan manusia. Dengan akal, manusia boleh berfikir akan kebesaran Allah SWT. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, amat penting bagi seorang guru menggerakkan akal seorang pelajar untuk berfikir akan kekuasaan Allah SWT. Al-Ghazali menukilkan:

“Dan tidaklah tersembunyi bahawa ilmu agama adalah memahami jalan akhirat yang dapat diketahui dengan kesempurnaan akal dan kebersihan kecerdikan. Akal adalah yang termulia dari sifat-sifat insan. Dengan akal, manusia menerima amanah Allah SWT. Dan dengan akal jua, manusia akan sampai ke sisi Allah SWT. Adapun tentang umum kegunaannya, maka tidak diragukan lagi, kerana kegunaan dan kehasilannya ialah untuk kebahagiaan di akhirat.”

“Dengan akal, manusia bersedia menerima berbagai macam ilmu nadhari (ilmu yang memerlukan pemikiran) dan untuk mengatur usaha-usaha yang pelik yang memerlukan kepada pemikiran. Akal itu seolah-olah suatu cahaya yang dimasukkan ke dalam hati yang disediakan untuk mengetahui bermacam-macam hal.”

“Hakikat akal itu ialah ilmu pengetahuan yang timbul ke alam wujud pada diri anak kecil yang dapat membezakan tentang kemungkinan barang yang wujud dan barang yang tidak wujud.”

Dengan menggerakkan akal murid untuk berfikir, murid akan lebih mudah memahami perkara yang dipelajari dengan menghubungkan dengan kebesaran Allah SWT. Kaedah penaakulan juga digunakan oleh para ilmuwan lain pada zaman dahulu untuk memberi kefahaman kepada orang awam tentang persoalan yang diketengahkan. Sebagai contoh dibawakan kisah yang berlaku pada al-Syafi’iy seperti berikut:

“Seseorang berkata kepada al-syafi’iy tentang al-Qur’an: ‘Apakah ia Khaliq?’. Beliau menjawab: ‘Bukan’. Orang itu bertanya pula: ‘Jadi, ia makhluk?’. Beliau menjawab: ‘Bukan’. Orang itu berkata lagi: ‘Jadi selain makhluk?’. Maka jawab al-syafi’iy: ‘Ya’. Lalu orang itu kembali bertanya: ‘Apa buktinya kalau al-Qur’an bukan makhluk?’. Beliau pun mengangkat kepalanya kemudian berkata: ‘Anda mengakui al-Qur’an itu kalan Allah?’. Orang itu menjawab: ‘Ya’. Lalu al-syafi’iy menegaskan: ‘Anda telah mengetahui tentang masalah ini melalui firman Allah SWT:

“Dan jika seseorang dari golongan musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindunglah ia supaya ia sempat mendengar Kalam Allah, kemudian hantarkan ia ke tempat yang aman. Yang demikian itu disebabkan mereka adalah kaum yang tidak mengetahui”. (Al-Taubah, 9:6)

Seterusnya al-syafi’iy bertanya, ‘Anda mengakui bahawa Allah SWT ada dan telah ada Kalam-Nya, atau Allah SWT ada dan belum ada Kalam-Nya?. Lelaki itu menjawab: ‘Allah SWT telah ada dan telah ada Kalam-Nya’. Mendengar jawapannya seperti itu al-syafi’iy pun tersenyum dan berkata: ‘Hai ahli Kufah, anda semua telah terlalu jauh terlibat dalam perkara besar ini. Jika anda semua mengakui bahawa Allah SWT telah ada sebelum segala sesuatu dan telah ada Kalam-Nya, maka dari mana kamu persoalkan apakah Kalam itu Allah SWT? Atau selain Allah SWT? Atau bukan Allah SWT?’. Maka orang itu terdiam lalu pergi.

Dalam al-Qur’an juga ada disebutkan penggunaan akal untuk melihat kebesaran alam. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai”. (Al-A’raf, 7:179)

Oleh itu, penekanan penggunakan akal dalam proses pembelajaran amat penting untuk dititik beratkan. Dengan penggunaan akal, para pelajar dapat menghubungkan terus ilmu yang diperoleh dengan kebesaran Allah SWT jika dibimbing dengan kaedah yang tepat.


Penutup

Maksud sebuah kalam,

“Ilmu itu cahaya daripada Allah. Memancar keluar melahirkan amal dan memancar ke dalam menzahirkan iman.”


Walau bagaimanapun apa kaedah yang digunakan untuk meastikan ilmu itu dapat disalurkan dengan baik mesti diperhalusi. Oleh itu kaedah pendidikan yang disyorkan al-Ghazali tepat menggambarkan bagaimana ilmu itu boleh disampaikan kerana kaedah yang al-Ghazali kemukakan bukan sahaja membangunkan insan malahan turut melibatkan pembangunan insaniah para pelajar. 

Wednesday, November 6, 2013

Islam & Demokrasi

Pengenalan

Pada abad ini, kebanyakan negara di dunia mengambil sistem demokrasi sebagai cara pemilihan kerajaan di negara masing-masing. Demokrasi menjadi pilihan rakyat kerana dianggap sebagai salah satu cara untuk menyatakan pandangan, dan ia merupakan salah satu hak kebebasan individu.  

Istilah demokrasi yang berasal daripada perkataan Yunani - 'demo' atau 'rakyat', ditakrifkan sebagai kerajaan yang dipilih oleh kuasa tertinggi iaitu rakyat. Menurut bekas presiden Amerika Syarikat yang pertama, Abraham Lincoln, demokrasi adalah kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. [1]

Persoalannya, adakah rakyat mengetahui asal-usul sistem ini? Adakah sejarah perkembangannya diteliti secara terperinci? Maka, dalam penulisan ini, terdapat tiga bahagian dibincangkan iaitu sejarah demokrasi, fasa-fasa perkembangan demokrasi kontemporari dan juga penganalisisan epistemologi demokrasi.


Sejarah Demokrasi

Di bandar Athens, penduduknya hidup di bawah kerajaan yang dipilih secara demokrasi dari tahun 508 - 322 S.M.. Selama tempoh 186 tahun ini, rakyatnya hidup aman dan makmur. Demokrasi di Athens tidak terhad kepada hak rakyat untuk memilih pemimpin, tetapi mereka turut berbahas dan mengundi tentang isu semasa, dari permasalahan yang besar seperti perihal peperangan dan keamanan, sehingga perkara yang kecil seperti ciri-ciri ketua nakhoda (Christopher W. Blackwell, 2003). Ini menunjukkan ketelitian sistem pentadbiran pada masa itu sangat baik dan semua rakyat bebas untuk mengemukakan pandangan masing-masing. 

Pada tahun 1791M, perkembangan demokrasi dapat dilihat dalam revolusi berdarah Perancis (1789-1799M) di mana kerajaan Perancis dengan rasminya memperkenalkan demokrasi sebagai asas perlembagaan negara tersebut. 

Demokrasi terus berkembang di negara-negara Barat dan akhirnya muncul di negara Islam selepas kejatuhan kerajaan Uthmaniyah pada tahun 1922. Akhirnya penggunaan sistem demokrasi sebagai sistem pemerintahan negara telah digunakan di negara Islam, dari satu negara ke satu negara yang lain. Mesir sebagai contoh, pada tahun 1923, kerajaan ini dalam perlembagaannya yang pertama ada menyebutkan 'Kedaulatan Negara adalah untuk rakyat dan rakyat menjadi sumber pemerintahan'. Di Asia Tenggara pula, Malaysia akhirnya mengikuti negara-negara Islam di sekitarnya untuk turut mengamalkan sistem demokrasi selepas kemerdekaannya pada tahun 1957 (Abu Omar dan Idris Sulaiman, 2013).

Fasa-fasa perkembangan Demokrasi Kontemporari

Perkembangan Demokrasi moden boleh dibahagikan kepada tiga fasa iaitu Fasa Permulaan, Fasa Berakhirnya Penjajahan dan Fasa Baru.

Fasa Permulaan

Walaupun revolusi Perancis telah berlaku pada tahun 1789, tetapi demokrasi di negara tersebut masih tidak stabil. Bahkan sepanjang abad ke-19, sistem demokrasi di Perancis masih tidak kukuh. Walau bagaimanapun, revolusi di Perancis telah menjadi pencetus kepada negara-negara lain di Eropah.

Di Britain pula, perkembangan demokrasi sebenarnya telah bermula sebelum revolusi di Perancis lagi tetapi pergerakannya agak perlahan. Sepanjang abad ke 18 hingga 19, sistem monarki dan feudal terhapus sedikit demi sedikit di negara ini. Semakin ramai rakyat yang diberi hak kebebasan untuk mengundi. Pada tahun 1776, negara jajahan British di utara Amerika telah mengisytiharkan kemerdekaan. Akhirnya negara jajahan ini bergabung  untuk membentuk US tetapi hak mengundi masih tidak diberikan kepada semua rakyat.

Pada abad ke-19, perjuangan menuntut demokrasi berkisar berkenaan keadilan dan kebebasan. Antara tuntutan utama ialah setaip rakyat diberikan hak untuk mengundi. Kebanyakan negara di Europe, tidak semua rakyat diberikan hak mengundi. Di sesetengah negara, hak mengundi hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai harta. Di US, mereka yang berkulit hitam tidak dibenarkan mengundi shingga tahun 1965. New Zealand merupakan negara yang terawal memberi hak mengundi kepada seluruh rakyatnya iaitu pada tahun 1893 (Sprakashan, 2013).

Fasa Berakhirnya Penjajahan 

Kebanyakan negara di Asia dan Afrika berada di bawah jajahan  Eropah untuk jangka masa yang lama. Rakyat tidak sekadar menuntut kemerdekaan tetapi rakyat juga menuntut untuk diberi kebebasan untuk memilih pemimpin negara. Kebanyakan negara ini merdeka selepas Perang Dunia ke-2 pada tahun 1947. India sebagai contoh, merdeka pada tahun 1947.

Ghana, negara yang terletak di Afrika Barat pula, mempunyai sejarah demokrasi seperti kebanyakan negara bekas jajahan yang lain. Ghana dulunya berada di bawah jajahan British dan dinamakan sebagai Gold Coast. Memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957, Ghana menjadi pencetus buat negara Afrika yang lain untuk menuntut kemerdekaan. Kemerdekaan di Ghana banyak disumbangkan oleh seorang guru yang bernama Kwame Nkrumah. Selepas kemerdekaan, beliau diangkat menjadi presiden Ghani untuk sepanjang hidupnya. Walaubagaimanapun, pada tahun 1966, penggulingan terlah berlaku oleh tentera. Seperti kebanyakan negara bekas jajahan yang lain, demokrasi di Ghana masih tidak kukuh (Sprakashan, 2013).

Di Malaysia pula, suara tuntutan kemerdekaan sudah lama dilaungkan. Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 selepas peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. Walau bagaimanapun, kemerdekaan belum berjaya dicapai apabila Jepun menyerahkan Tanah Melayu kepada pihak Inggeris di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946. Selepas beberapa rundingan dengan pihak Inggeris yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman, akhirnya Tanah Melayu berjaya memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957. [5]

Fasa Baru

Gelombang demokrasi muncul kembali selepas tahun 1980. Pada waktu ini, Soviet Union berjaya menguasai sebahagian besar negara komunis di Timur Eropah. Beberapa buah negara seperti Poland berjaya keluar dari cengkaman Soviet Union pada sekitar tahun 1989 - 1990. Demokrasi menjadi pilihan majoriti negara yang berjaya bebas ini. Soviet Union yang terdiri daripada 15 Republik ini runtuh pada tahun 1991 apabila kesemua Republik yang terlibat berpecah menjadi negara yang merdeka. Kebanyakan negara ini juga memilih sistem demokrasi untuk negara. Akhirnya perpecahan dan pengakhiran Soviet Union membawa kepada perubahan besar politik dunia.

Antaranya di rantau India, Pakistan dan Bangladesh berubah dari pemerintahan tentera kepada demokrasi pada tahun 1990. Pada tahun 2005, sebanyak 140 negara di dunia membenarkan perlbagai parti politik yang bertanding ddalam pilihanraya. Tetapi tidak dinafikan masih wujud negara yang tidak memberi hak kebebasan memilih kepada rakyat seperti di Myanmar (Sprakashan, 2013).

Penganalisisan Epistemologi Demokrasi 

Ada yang berpendapat cetusan demokrasi bermula secara langsung dari Poland dan ada juga yang berpendapat demokrasi berasal dari Greek cuma perkembangannya terkubur. Penulis lebih cenderung kepada pendapat yang menyatakan asal-usul demokrasi adalah dari Greek memandangkan bangsa itu banyak melahirkan ahli falsafah dan cendekiawan seperti Aristotle. Sebagai seorang ilmuwan, menjadi perkara biasa untuk berhujah dan membincangkan sesuatu perkara sebelum mendapat kata putus. Bertepatan dengan kenyataan, demokrasi di Greek bukan hanya melibatkan pemerintahan negara tetapi juga melibatkan perkara-perkara kecil yang berlaku di kalangan rakyat. Maka dari segi analisis penulis, demokrasi itu berasal dari Greek.

Penutup

Demokrasi semakin diterima di kebanyakan negara di dunia. Sistem ini diterima secara meluas dan berkembang dengan pesat pada abad ke-19. Perbahasan mengenai demokrasi juga semakin rancak dalam era ini. Walaupun terdapat pemikir dan aktivis Islam yang kurang bersetuju dengan sistem demokrasi seperti Syed Qutb yang menyifatkan ianya perkara buruk dari Barat, akan tetapi ramai juga yang menyokong sistem ini seperti Imam Hassan al-Banna dan as-Syaikh Yusuf al-Qaradawi. Imam Hassan al-Banna sendiri melibatkan diri dalam pilihan raya di Mesir sebelum berlaku tragedi pembunuhan ke atas dirinya. Ini menunjukkan iltizamnya kepada doktrin dan amalan demokrasi. As-Syaikh Yusuf al-Qaradawi pula menyifatkan sistem demokrasi sebenarnya merupakan gambaran daripada ajaran Islam itu sendiri (Muhammad Nur Manuty, 2013). Penulis sendiri lebih cenderung kepada pendapat menyokong sistem demokrasi selagi sistem itu dijalankan dengan telus dan adil.  



Senarai Rujukan

[1] Democracy in Brief. Bureau of International Information Programs U.S Department of State. Diakses dari http://usinfo.state.gov pada 6 November 2013.

[2] Christopher W. Blackwell (2003). Athenian Democracy: An Overview. The Stoa: A Consortium For Electronic Publication in The Humanities.

[3] Abu Omar, Idris Sulaiman (2013). Demokrasi dan Pilihanraya. Kajang.

[4] Sprakashan (2013). Democracy in The Contemporary World. Diakses dari http://cbse.manifo.com/ pada 6 November 2013.

[5] Diakses dari http://www.malaysiamerdeka.gov.my/v2/ms/sejarah/sejarah-kemerdekaan pada 6 November 2013.

[6] Muhammad Nur Manuty (2013). Islam dan Demokrasi: Dari Perspektif Ideologi-ideologi Gerakan Islam Semasa. World Conference of Islamic Resurgence.





Saturday, November 2, 2013

Hari Tua

1 November 2013. 

Genap sudah. 

Cukup 24 tahun aku bernafas di bumi Allah ini. Banyaknya nikmat yang Allah kurniakan - sihat sejahtera, rezeki yang cukup, keluarga yang penyayang, sahabat yang mengingatkan - semuanya Allah bagi berterusan even aku banyak buat dosa.. T_T

SAMBUTAN VERSI KELUARGA

Dalam keluarga kami zaman muda-muda dulu, kalau sambut birthday memang akan ada satu pattern.

Makan di restoran.
Balik.
Semua berkumpul sambil buka hadiah.
Kek simpan dalam peti untuk sarapan pagi esoknya.
Esok paginya cari makanan lain. Erk.

                                           Dulu dapat macam ni. Setiap ahli keluarga bagi sorang satu.

Tapi sambutan tu hanya valid until form 5. Cara sambutan 18 tahun dan seterusnya lain sungguh!

Makan di restoran.
Balik.
Transfer duit.

Haha. Tu pun kalau duduk kat rumah. Kalau duduk jauh wish+transfer duit.

Argh, ini semua angkara modenisasi! (mohon baca dengan nada aktor dalam drama melayu)

SAMBUTAN VERSI KAWAN-KAWAN

1 tahun di Labuan, 4 tahun di Perlis. Alhamdulillah sepanjang merantau di negeri orang, Allah kurniakan roomate dan housemate yang baik-baik belaka. Di Labuan satu bilik dengan warga Borneo dan 4 tahun di Perlis dengan mek Kelate, oghang Kedah dan Perlis.

Seperti biasa, birthday yang dekat2 kami jama'kan skali sebab maklumlah, jadi student ni sesak sikit bab duit. Pasai tu cheq hairan sungguh laa macam mana student boleh kahwin time study?? (Ok arinah mohon fokus!) Tapi sebab dalam group kami tu aku je yang awal November, jadi aku bukan antara yang dijama'kan.

Tersenyum bila ingat balik. Sebab 4 tahun berkawan, jadi kadang-kadang pattern nak bagi surprise tu kita boleh agak. Tapi demi ukhwahfillah ni nak jaga hati roomate yang penat pecah kepala fikir cara nak bagi kejutan, kita pun kena terkejut jugak. Bahaha

Maka berbulatanlah kami di tengah rumah, sambil makan kek sponge yang sedap. 

                           Curik kat Google. Punya nak habaq kek sponge tu tak cantik tapi sedap. haha 

Standard bagi pengakhiran setiap kali sambutan hari jadi, "Mung la habiskan. Nak suami soleh dak?" - teori yang tiada pembuktian sejak azali berterusan diulang suara.

ADA APA PADA HARI JADI

Lalu, apa yang seronoknya dengan sambutan hari jadi?

Hadiah?
Ucapan?
Duit?

It's du'as from our family, friends and all muslim :)
Disamping itu masa inilah kita nak strengthen our bonding sampai tak boleh nak longgar lagi. Weee~~

:)

Nota tangan: Sebaik-baik sambutan hari jadi, adalah sambutan yang tidak ada unsur pembaziran dan apa-apa yang melanggar syariat. Daripada membazir tepung, baik buat cekodok kat cheq ni. Oh, and it's nicer if we celebrate just like our beloved prophet - fasting! =)